#featured-post a{color:#fff} #featured-post ul{list-style:none;padding:0} #featured-post ul li{padding:2px 0 0 2px;float:left;clear:none;width:183px} #featured-post .item-content{background:transparent} #featured-post .item-thumbnail{background:transparent} #featured-post .item-content img{width:183px;height:183px} #featured-post .item-title{line-height:1.3em;font-size:90%;min-height:50px;max-height:50px;;opacity:0.75;background:#000;margin:-63px 0 1px;padding:5px;color:#fff;overflow:hidden} #featured-post ul li:first-child{height:250px!important;width:250px!important;padding:2px 0 0!important} #featured-post ul li:first-child img{height:250px!important;width:250px!important} #featured-post ul li:first-child + li + li + li{width:368px!important;height:64px!important;overflow:hidden} #featured-post ul li:first-child + li + li + li img{width:368px!important;height:368px!important} #featured-post ul li:first-child + li + li + li div.item-title{margin:-373px 0 5px;padding-right:60px;min-height:56px;max-height:56px;opacity:0.90;background: #000 url('https://lh6.googleusercontent.com/-XE052qluJF4/T5WdnWYnAmI/AAAAAAAAJTg/yzMM76rYjkI/s48/Arrow%2520Right.png') 305px 7px no-repeat!important} #featured-post ul li:first-child + li + li + li div.item-title a{font-size:16px;line-height:1.2em}

Monday, May 11, 2009

.:: Hikayat Anggun dan 4 orang pemburu ::.

Pada suatu hari yang terik, seorang pemuda bernama Munajat, anak kepada salah seorang pembesar negeri Pokok Sendayan keluar memburu bersama beberapa orang pengikutnya. Tiga orang pengikutnya yang menaiki kuda dibawa bersama keluar dari awal pagi hingga ke tengahari bagi membantu beliau mengisi masa lapang yang terluang. Setakat ini, baru seekor rusa yang berjaya di panah. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan buruan yang didapati, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan aktiviti memburu itu hingga ke kampung seberang. Tibalah mereka berempat di depan sebuah rumah usang yang terletak nun jauh dipinggir hutan tersebut.

Munajat yang keletihan, mengajak para pengikut untuk berehat sebentar. Disebabkan oleh bekalan makanan dan minuman mereka kehabisan, Munajat mengambil keputusan untuk menyapa tuan punya rumah usang itu untuk meminta sedikit air.

“Wahai tuan rumah, patik bernama Munajat anak Tuan Syahbandar Negeri Pokok Sendayan, datang dengan aman untuk meminta sedikit ihsan darimu.”, sapa Munajat di perkarangan pintu rumah tersebut.

Panggilan pertama itu dibalas dengan bunyi bisu dari dalam rumah itu. Keadaan rumah itu kelihatan sungguh kotor dan barangkali didiami oleh orang yang miskin bertaraf bawahan. Munajat dan pengikutnya saling berpandangan. Pengikut kanan beliau member isyarat supaya beliau cuba memanggil kali kedua.

“Wahai tuan rumah, patik bernama Munajat anak Tuan Syahbandar Negeri Pokok Sendayan, datang dengan aman untuk meminta sedikit ihsan darimu.”, Munajat menyapa sekali lagi.

“Tunggu sebentar wahai tuan hamba. Patik datang dengan segera.”, balas tuan punya rumah itu dari dalam.

Sejurus selepas itu, terbukalah pintu rumah tersebut di depan Munajat serta para pengikutnya. Keluar seorang gadis jelita berpakaian compang-camping berambut lurus serta lesung pipit di pipinya.

“Maafkan patik, Tuan Munajat. Patik tidak mendengar suara tuan kerana sibuk memasak makanan tengahari”.

“Tidak mengapa wahai cik adik. Patik faham.”, balas Munajat dengan senyuman dan mata yang melihat gadis itu dari atas ke bawah. Hatinya tertarik pada gadis itu.

“Patik meminta izin ke dapur wahai tuan sekalian. Akan patik datang semula bersama makanan serta minuman untuk kalian.”, dengan lemah lembut si gadis itu meminta diri.

“Baik tuan hamba. Kami tunggu di sini”, Munajat membalas kesopanan gadis tersebut dengan suara yang lembut.

Beberapa ketika kemudian, datanglah gadis itu bersama makanan dan minuman untuk keempat-empat pemburu itu.

Sambil menikmati juadah ringkas itu, Munajat bersuara, “Saudari, siapakah gerangan saudari ini? Andai saudari tidak keberatan menjawab soalan hamba.”

“Nama hamba Anggun. Hamba tinggal sebatang kara di sini.”

“Oh.. Jadi, di manakah ahli keluarga saudari yang lain?”

“Tuan Munajat, hamba datang di sini atas sebab menyelamatkan diri hamba daripada musuh yang menceroboh kampung hamba dahulu kala. Kesemua ahli keluarga hamba telah mati dibunuh oleh penceroboh-penceroboh itu.”, jelas Anggun dengan air mata bergenang di matanya.

Munajat menundukkan kepalanya. Barangkali sama-sama sebak dengan kisah diceritakan oleh Anggun. Beliau memandang kepada ketiga-tiga pengikut yang tadi duduk di bawah pohon kelapa menikmati minuman. Kesemuanya kelihatan sedang tidur yang mungkin disebabkan keletihan yang dihadapi mereka. Anggun yang turut memandang mereka tersenyum, barangkali kelihatan lucu dimatanya. Ini adalah peluang Munajat untuk mengambil sedikit masa lagi mengenali Anggun.

Munajat memandang tepat di mata Anggun yang semakin reda dengan air mata. Seraya itu, beliau bersuara,” Saudari, bolehkah seandainya hamba bertanya tentang latar belakang keluarga saudari?”

“Arwah bapa hamba adalah seorang peladang di kampung hamba dahulu. Ibu hamba membantunya setiap hari di ladang kami. Hamba adalah anak tunggal mereka.”

Melihat Munajat bagai ingin cerita yang lebih lanjut, Anggun pun menyambung.

“Kami tinggal di sebuah rumah yang lebih selesa daripada ini. Bapa hamba adalah seorang yang penyayang. Dia sentiasa dahulukan keluarga daripada apa-apa sekali pun. Namun, semua itu hilang dalam sekelip mata saja.”, Anggun mengesat matanya yang kembali digenangi air mata.

“Ceritakan lah apa yang berlaku wahai saudari. Hamba sedia mendengarnya apa yang menjadi titik hitam hidupmu itu.,” soal Munajat pada Anggun sambil mengurut-urut kepala nya yang pening barangkali akibat cuaca yang panas itu.

Anggun terdiam sebentar. Mencari bait-bait yang sesuai untuk memulakan cerita. Sesekali beliau melihat muka Munajat yang bercampur baur dengan sakit kepala dan kesungguhan mendengar cerita beliau. Selang dua tiga hela nafas dalam diambil Anggun, beliau mulakan bicara kembali.

“Pada suatu malam, kami sekeluarga sedang asyik menikmati makan malam hasil ladang keluarga kami sendiri. Tiba-tiba, seluruh kampung menjadi kecoh dan huru-hara akibat penceroboh-penceroboh yang datang dengan niat menzalimi. Rumah kami tidak terkecuali daripada serangan mereka. Mereka pecahkan pintu rumah kami dan mengikat kedua orang tua hamba. Barangkali hamba baru berumur 16 tahun ketika itu. hamba cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya. Mereka tangkas menangkap hamba daripada mengikut pintu belakang.”

Tiba-tiba Anggun terus menangis dan tidak sanggup untuk meneruskan kisah hitamnya itu. Dengan kedua-dua belah tangannya, beliau menerkup muka manisnya itu. Munajat hanya dapat berdiam saja melihat Anggun begitu.

“Saudari tidak perlu teruskan andai ia benar-benar melukakan hati saudari.”, pujuk Munajat.

“Tidak. Hamba akan terus cerita. Barangkali, ini adalah buat penghabisan kalinya hamba ceritakan kisah ini pada sesiapa pun. “, jelas Anggun pada Munajat.

Dengan wajah yang hairan, Munajat bersedia mendengar kisah Anggun kembali. Sambil memandang tepat ke mata Munajat, Anggun bersuara.

“Setelah mereka semua mengikat ibu dan bapa hamba, mereka mula bersifat lebih kebinatangan. Mereka…. urm… mereka… mereka merogolku bergilir-gilir di depan ibu bapa hamba sendiri. Hamba masih teringat bagaimana tangisan ibu hamba melihat anak daranya diratah bagaikan semalam ia terjadi.”

Munajat mengelengkan kepalanya dengan mata yang terbeliak mendengar pengakuan Anggun tadi.

“Iya tuan hamba, mereka perlakukan hamba begitu. Setelah selesai, mereka bunuh kedua-dua orang tua hamba di depan hamba sendiri. Hamba bagaikan ingin pengsan melihat keadaan ngeri orang tua hamba tetapi, syukur hamba masih lagi kuat untuk berdiri. Hamba cepat-cepat melarikan diri hamba. Syukur juga mereka semua tidak menyedari kehilangan hamba kerana ralit dengan membunuh orang tua hamba.”

Munajat memegang kepalanya yang dari tadi pening. Ditambah lagi dengan kisah hitam Anggun, beliau tersandar di atas batu tangga rumah usang Anggun. Melihat Munajat yang masih lagi tekun mendengar, Anggun pun menyambung,

“Hamba masih ingat siapa yang ceroboh rumah hamba dan membunuh orang tua hamba.
Hamba telah bersumpah atas kubur ibu hamba yang hamba akan membalas dendam untuknya.”
Dengan suara yang mengigil akibat menahan sakit kepala, Munajat bersuara,
“Siapakah orangnya yang membuat segala onak ini wahai saudari? Ingin saja hamba cari dan membunuhnya bagi pihak saudari. Hamba tidak boleh tahan dengan cerita saudari ini. Hati hamba rasa sakit dan berkecai!! Kezaliman harus dihapuskan!!”

“Tidak perlu tuan hamba. Biar hamba sendiri yang tanggung semua ini. Hamba punyai cara hamba sendiri.”, jelas Anggun pada Munajat.

Munajat terdiam sebentar melihat air muka Anggun yang penuh dengan dendam dan rasa benci yang mendalam. Pertama kalinya buat Munajat melihat kesungguhan dalam wajah seseorang.

“Saudari, andai tidak izinkan hamba membunuh keparat-keparat yang menzalimi saudari dahulu, bolehkah seandainya hamba tahu siapa gerangan orangnya supaya dapat hamba cari dan berikan mereka pada saudari. Anggaplah ia sebagai tanda terima kasih hamba kepada saudari atas ihsan yang saudari berikan kepada kami”, tawar Munajat kepada Anggun.

“Haha.. baiklah. Hamba rasa tuan hamba kenal benar dengan orangnya.”

“Huh, siapa?”

“Bapa tuan hamba sendiri sebenarnya. Masa itu kerajaan negeri ini sedang meluaskan jajahan mereka di bumi ini. Sebab itu mereka melupuskan semua penduduk asal negeri ini wahai tuan hamba.”

“….!!!”

“Ya, sebagai membalas dendam, hamba terpaksa membunuhmu wahai Tuan Munajat! Biar bapa tuan hamba tahu bagaimana rasanya kehilangan seseorang yang disayanginya”, jelas Anggun dengan selamba kepada Munajat yang mukanya sudah pucat bagaikan mayat.

“Celaka kau… Akan kubunuu….”, kata terakhir Munajat sebelum rebah di tanah. Badannya mengeletek-geletek sambil buih penuh bersarang dimulutnya.Barangkali, racun yang disediakan Anggun sudah mula bertindak dalam badan Munajat. Tiga lagi pengikut Munajat tadi sebenarnya telah lama mati di bawah pohon kelapa yang diduduki mereka.
Anggun tersenyum sinis melihat keempat-empat jasad yang tidak bernyawa di depan rumahnya. Seraya itu, beliau mendongak ke langit seolah-olah ingin memberitahu sesuatu.

“Bonda, ayahanda… Rancangan pertama anakanda telah berjaya. Sekarang mula untuk rancangan kedua pula. Anakanda ingin menepati sumpah anakanda pada ibunda dan ayahanda untuk membela kematian kalian!! Semoga kita dapat ketemu lagi nanti”, ujar Anggun dengan senyuman di bibirnya dan air mata yang jatuh di pipinya.